KUALA LUMPUR, 27 Julai - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah yang dijangka berterusan sehingga pukul 10.00 pagi ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia pada pukul 7.20 pagi tadi, antara kawasan yang terlibat ialah Klang, Kuala Langat dan Sepang di Selangor, Port Dickson di Negeri Sembilan serta kawasan Tawau dan Semporna di Sabah.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku dalam tempoh melebihi sejam. Ia merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan merancang perjalanan dengan mengambil kira keadaan cuaca semasa.