MUAR, 27 Julai -Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyertai kira-kira 3,000 peserta program Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk yang berlangsung meriah di Dataran Tanjung Emas, di sini bersempena dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 hari ini.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 sebelum itu melakukan pelepasan pada 7.08 pagi sebelum bersama-sama berlari dengan peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT), komuniti pelari serta petugas agensi dan jabatan kerajaan.
Antara pengurusan tertinggi Kementerian Komunikasi yang turut menyertai larian ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif)) Nik Kamaruzaman Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Mazlan Abd Mutalib.
Turut serta, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.
Program larian itu berlangsung dalam suasana penuh semangat kebangsaan dan kesukanan, dengan kebanyakan peserta mengibarkan Jalur Gemilang sambil berlari dan berjalan kaki mengelilingi laluan ikonik di sekitar bandar Muar yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani.
Peserta yang mendaftar awal turut menerima baju edisi khas manakala 1,000 peserta terawal yang berjaya menamatkan larian menerima pingat sebagai penghargaan selain cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah kepada peserta.
MPBKKJG akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 pagi ini. - BERNAMA