KUANTAN, 27 Julai - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Pesta Kuantan 188, malam tadi.
Mengiringi Baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Pesta Kuantan 188 yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu, diadakan sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66, Al-Sultan Abdullah yang jatuh pada 30 Julai dan Tunku Azizah pada 5 Ogos ini.
Pesta yang memasuki tahun keempat penganjurannya, diserikan dengan acara memotong pulut kuning dan kek oleh baginda berdua.
Baginda dan ribuan rakyat yang hadir turut dipertontonkan dengan persembahan 200 dron yang memacarkan pelbagai simbol dan ikon negeri Pahang.
Kemuncak program, acara konsert nyanyian oleh barisan artis tempatan seperti Ella, Dayang Nurfaizah, Tomok dan Akim.