PELABUHAN KLANG, 30 September - Kerajaan Negeri Selangor akan menghantar beberapa pegawainya ke China bagi mempelajari pengoperasian penjanaan tenaga berasaskan nuklear.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut merupakan sebahagian usaha menerusi pelan bekalan tenaga mesra alam atau boleh diperbaharui bagi negeri berkenaan
Kesemua pegawai akan dihantar ke Tsinghua University, Beijing dengan sebahagian pembiayaan pengajian ditaja kerajaan negeri.
" Tapi kita mulakan dengan 'human capital' (modal insan), kita akan hantar dulu dua atau tiga 'officer talent' (pegawai berbakat) kita yang kita rasa sesuai untuk di hantar ke sana dengan sebahagian pembiayaan ditaja oleh negeri dan sebahagian lagi oleh universiti...'Advance' sebenarnya dalam teknologi di Beijing dan kita dapati juga beberapa pelajar Malaysia di sana, ada enam pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian Master dalam bidang tersebut," kata beliau pada sidang media selepas pelancaran Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) di Pulau Indah Power Plant, di sini hari ini.
PIPP tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Amirudin berkata projek PIPP berkenaan telah mencipta lebih 2,000 peluang pekerjaan dan turut menawarkan bekalan tenaga kepada perindustrian pada tarif yang lebih kompetitif.
PIPP yang menggunakan pembakaran gas asli adalah antara sumber tenaga bersih dan sebahagian daripada perancangan negeri ke arah penjanaan tenaga hijau atau boleh diperbaharui.
Projek berkenaan dikendalikan Pulau Indah Power Plant Sdn Bhd, dengan kerjasama Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO).