fb fb fb fb fb

BUDI95 bantu ringankan kos sara hidup rakyat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 September – Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dilihat mampu membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup harian.

Selain itu, ia juga memudahkan urusan pembelian petrol untuk mereka.

Pengurus Negara Opex, Lee Say Kean berkata, pelaksanaan harga subsidi RM1.99 seliter memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya mereka yang berdepan tekanan ekonomi.

“Ini adalah inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup. Walaupun jumlah penjimatan tidak besar, harganya tetap lebih rendah berbanding sebelum ini dan sedikit sebanyak dapat membantu rakyat, khususnya yang melalui masa sukar,” katanya ketika ditemui Berita RTM, hari ini.

Eksekutif Jualan Sarman Printing, Amirah Muhammad Zahari pula berpendapat, penggunaan MyKad bagi pengesahan BUDI95 amat mudah dan pantas.

“Terima kasih kepada kerajaan atas pelaksanaan BUDI95. Bagi saya, rakyat Malaysia semua ada MyKad, jadi memang memudahkan untuk digunakan. Prosesnya pun tidak sampai seminit,” ujarnya.

Sementara itu, pekerja swasta, KC Wong berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu rakyat menguruskan perbelanjaan harian, malah memastikan hasil negara dapat ditingkatkan secara berimbang.

“Dengan BUDI95, rakyat dibantu mengurus kos sara hidup, pada masa sama negara dapat menambah sumber pendapatan. Ia juga langkah baik untuk membiasakan rakyat dengan penggunaan sistem digital,” katanya.

Dalam pada itu, Eksekutif MBSB, Premi A/P Thirumurugan turut menyambut baik pelaksanaan tersebut dan menyifatkannya sebagai inisiatif yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

"Inisiatif BUDI95 sangat membantu saya kerana saya banyak memandu untuk keluar bersama keluarga dan rakan-rakan. Jadi, saya dapat berjimat dan lebihan wang itu boleh digunakan untuk perkara lain,” jelas beliau.

Mulai hari ini kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN