fb fb fb fb fb

BUDI95: 70,000 pemegang lesen perlu kemas kini maklumat di JPJ

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika ditemui pada sidang media hari ini

PUTRAJAYA, 30 September – Seramai 70,000 pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) perlu segera mengemas kini maklumat di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan kelayakan menerima subsidi BUDI Madani RON95 (BUDI95) yang mula dilaksanakan hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pengemaskinian maklumat penting kerana sistem tidak dapat mengesahkan status mereka selagi data tidak lengkap.

“Tiga kategori utama yang terlibat ialah mereka yang masih menggunakan nombor kad pengenalan lama, pesara polis dan tentera yang belum menukar kepada kad pengenalan sivil serta pemegang lesen dengan data ‘red flag’. Mereka ini semua sebenarnya layak, tetapi data perlu dikemas kini,katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan BUDI95, di sini hari ini.

Menurut beliau, pengguna nombor kad pengenalan lama menghadapi kesukaran kerana sistem subsidi hanya mengiktiraf nombor MyKad.

Manakala pesara polis dan tentera masih menggunakan nombor pengenalan pasukan yang tidak diselaraskan dengan sistem awam.

Bagi kategori ‘red flag’, Anthony berkata ia melibatkan kesilapan teknikal seperti nombor kad pengenalan tidak sepadan dengan rekod JPJ atau data berganda dalam sistem.

Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa hari ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Kesemua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi itu.

Berdasarkan data daripada JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 16 juta orang dijangka mendapat manfaat daripada program berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN