PUTRAJAYA, 30 September – Warganegara Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura tetap layak menerima subsidi BUDI Madani RON95 (BUDI95) selagi mempunyai kad pengenalan sah Malaysia, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata, kelayakan subsidi ditentukan berdasarkan status kewarganegaraan, bukan negara pengeluar lesen memandu.
Jelasnya, sistem pengesahan subsidi menggunakan nombor kad pengenalan rakyat Malaysia.
“Kalau dia rakyat Malaysia, walaupun lesen dipengaruhi Singapura, mereka tetap layak kerana syarat asas ialah warganegara Malaysia. Sistem mengesahkan menggunakan kad pengenalan, bukan lesen,” katanya.
Anthony menjelaskan, ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menukar lesen memandu Malaysia kepada lesen Singapura kerana ia syarat mandatori untuk memandu kenderaan di republik itu.
Katanya, mereka perlu menunggu sehingga dua hingga tiga minggu sementara sistem Jabatan Pengangkutan Jalan mengemas kini data pengesahan kelayakan subsidi.
“Warganegara Malaysia yang memegang lesen Singapura diminta bersabar. Dalam tempoh beberapa minggu ini mereka mungkin belum menerima subsidi, tetapi isu ini akan diselesaikan segera,” jelasnya.
Anthony berkata, hampir 900,000 warga asing yang memegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak lagi layak menikmati subsidi RON95 selepas pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar bermula hari ini.
“Kebanyakan mereka ialah ekspatriat, pekerja asing dan individu bukan warganegara. Mulai sekarang, subsidi hanya untuk rakyat Malaysia, bukan untuk pemegang LMM warga asing,” katanya.
Beliau menambah, langkah itu memberi impak positif kepada kewangan negara kerana dapat mengurangkan ketirisan subsidi petrol yang sebelum ini turut dinikmati individu bukan warganegara.