SHAH ALAM, 28 September- Lebih 50,000 pengunjung dijangka membanjiri Selangor Agrofest 2025 yang berlangsung di Dataran Karnival Stadium Shah Alam sehingga Ahad.
Exco Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, festival pertanian terbesar negeri itu menyasarkan transaksi jualan sehingga RM500,000 sepanjang empat hari penganjuran.
"Tahun ini, penganjuran tampil dengan kelainan menerusi pameran floria yang mempamerkan lebih 4,000 bunga orkid pelbagai jenis, selain 160 gerai pempamer merangkumi jualan makanan, jabatan dan agensi kerajaan.
Festival itu turut memperkenalkan Pusat Lelongan Agro Selangor Plus (PLAS) yang membolehkan hasil tani dijual secara bidaan terbuka melalui aplikasi mudah alih," katanya selepas merasmikan Selangor Agrofest di sini.
Pada majlis sama, 10 usahawan tani menerima Anugerah Ikon Agro Selangor 2024/2025.
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 sebagai pengiktirafan terhadap inovasi dan penggunaan teknologi moden dalam pertanian.