fb fb fb fb fb

Sejarah Malaysia mesti berpaksikan fakta, bukan naratif penjajah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Peluncuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 di Encore, di sini / Foto BERNAMA

KLEBANG, 28 September- Sejarah Malaysia tidak boleh ditulis mengikut kaca mata penjajah atau barat.

Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia mesti berpandukan fakta dan kajian sahih agar rakyat benar-benar memahami warisan negara.

“Saya masih ingat pada tahun 1961, seorang sarjana sosiologi terkemuka, Profesor Vincent Alatas, menulis sebuah karya penting dalam Persidangan Ahli Sejarah Asia. Beliau menegaskan, kita mesti berterus terang terhadap negara dan warisan kita.

Sejarah kita tidak boleh ditentukan oleh tuan kolonial. Sejarah kita tidak boleh ditundukkan seperti yang digambarkan oleh kuasa luar. Di negara ini kita telah memiliki sebuah tamadun, malah berpeluang menjadi rakan utama dalam sejarah dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Peluncuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 di Encore, di sini, malam tadi.

Menurut Datuk Seri Anwar, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah TMM 2026 amat bertepatan kerana negeri itu pernah menjadi pusat pemerintahan Islam dan perdagangan antarabangsa yang berpengaruh.

Perdana Menteri turut menyebut tokoh Enrique of Malacca yang mencatat sejarah dunia sebagai bukti sumbangan orang Melayu dalam pelayaran antarabangsa.

Majlis peluncuran TMM 2026 diserikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai etnik termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Turut ditampilkan, persembahan istimewa oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas terapung Sungai Melaka.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN