fb fb fb fb fb

Malaysia gesa PBB sekat Israel, laksana reformasi

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) 2025, di sini

NEW YORK, 28 September- Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Israel, sambil menegaskan kekejaman rejim Zionis di Asia Barat tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, serangan terbaharu Israel di Doha, Qatar, bukan sekadar serangan terhadap beberapa wakil Hamas.

Ia dilihat suatu pencabulan terhadap kedaulatan sebuah negara serta penghinaan terhadap semua usaha pengantaraan.

“Kekejaman ini mungkin bermula dengan Palestin, tetapi ia pasti tidak akan berakhir dengan Palestin. Ketika Asia Barat semakin berbahaya bagi penduduknya, kita akan merasainya di seluruh dunia.

Inilah sebabnya mengapa sekadar menyokong penyelesaian dua negara tidak lagi mencukupi,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB di sini pada Sabtu.

Datuk Seri Mohamad menegaskan, tindakan konkrit mesti diambil terhadap kuasa pendudukan.

Pada masa sama, sokongan jangka panjang disediakan bagi memastikan kewujudan sebuah negara Palestin yang berkerajaan sendiri.

“Ujian yang kita hadapi kini adalah ujian kewujudan. 80 tahun kewujudan PBB dan 77 tahun pembersihan etnik Palestin, jika kita tidak dapat menyelesaikan perkara ini, rakyat dunia akan hilang keyakinan terhadap kita dan terhadap sistem antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Malaysia turut mengulangi gesaan agar PBB segera melaksanakan reformasi supaya kekal relevan dalam menangani cabaran global.

Antara reformasi mendesak yang digariskan ialah mengehadkan atau menghapuskan kuasa veto, menilai semula mekanisme pembiayaan global, serta menuntut kebertanggungjawaban Anggota Tetap Majlis Keselamatan melalui Inisiatif Veto dan Resolusi 377A Bersatu Demi Keamanan.

“Kita mesti mempersoal dan mencabar kuasa veto. Kita mesti membebaskan Majlis Keselamatan daripada keadaan lumpuh yang memalukan ini,” tegasnya.

Sejak 7 Oktober 2023, serangan berterusan Israel di Gaza telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Genosid yang dilakukan rejim Zionis itu turut memusnahkan infrastruktur serta mencetuskan krisis kebuluran.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN