fb fb fb fb fb

NEXTWAVE 2025 perkasa bakat kreatif tanah air

Majlis perasmian NEXTWAVE 2025

KUALA LUMPUR, 28 September- Program julung kali diadakan, NEXTWAVE 2025, membuka tirai sebagai platform memperkasa bakat baharu dalam bidang seni, media dan industri kreatif tanah air.

Penganjuran itu menekankan matlamat utamanya, iaitu pembangunan modal insan melalui platform kreatif dan pendedahan langsung daripada tokoh industri.

Ia juga menawarkan peluang pementasan serta bimbingan mentor dan pembinaan jaringan dengan pihak kerajaan, penggiat industri serta media.

Menurut penganjur, Feez Latiff, program ini tidak terhenti sebagai acara tahunan, sebaliknya diteruskan dengan siri Masterclass Program sepanjang tahun bagi memastikan kesinambungan pembangunan bakat muda.

“Daripada Nextwave Studio, kami sediakan siri masterclass sebagai hab pembangunan bakat. Kita bukan sekadar mencungkil bakat, tetapi juga membimbing, mendidik, serta membangunkan kemahiran insaniah mereka.

Lebih membanggakan, NEXTWAVE 2025 digerakkan sepenuhnya melalui inisiatif dan dana sendiri tanpa sokongan luar, sekali gus mencerminkan semangat berdikari dan dedikasi tinggi terhadap seni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian program tersebut yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Ahmad menegaskan, industri kreatif bukan sekadar hiburan tetapi juga nadi identiti bangsa, sumber inspirasi dan pemangkin ekonomi negara.

“Platform seperti ini amat penting untuk melahirkan generasi kreatif yang lebih berani, matang dan bersedia mengangkat seni tanah air ke peringkat antarabangsa,” katanya.

NEXTWAVE 2025 diharap menjadi landasan penting dalam melahirkan generasi kreatif baharu yang berdaya saing serta mampu membawa seni Malaysia ke persada global.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN