MIRI, 28 September- Pelaksanaan inisiatif BUDI95 oleh Kerajaan MADANI mula memberi kesan positif kepada anggota keselamatan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara penerima terawal menikmati subsidi petrol RON95.
Mulai semalam, anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menggunakan kenderaan persendirian mula menerima manfaat tersebut bagi tujuan tugasan harian dan kegunaan keluarga.
Sarjan Willie Salimun menyifatkan langkah itu sebagai kelegaan besar buat warga polis yang perlu bergerak menggunakan kenderaan sendiri.
"Bagi kami pihak PDRM sangatlah berbangga dengan apa yang dilakukan kerajaan sekarang untuk meringankan beban kami⦠termasuk menghantar anak-anak ke sekolah," katanya.
Seorang lagi anggota, Lans Koperal Azwan Shah Dvid@David turut meluahkan rasa syukur apabila subsidi itu dapat dinikmati lebih awal.
"Sebentar tadi saya baru isi minyak untuk kegunaan pergi kerja dan saya berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana meringankan beban rakyat serta anggota polis dan tentera," ujarnya.
Pelaksanaan awal subsidi BUDI95 kepada warga PDRM dan ATM dilihat sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap jasa mereka mempertahankan keamanan negara.