fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis lawat tapak Muktamar Muhammadiyah 2027

Raja Muda Perlis berkenan melawat tapak projek

MEDAN, 28 September - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Deli Serdang, Medan bagi menyaksikan sendiri perkembangan pembinaan Auditorium Berkemajuan dan Walidah Sports Hall yang sedang giat dibangunkan di kawasan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU).

Pembangunan itu bakal digunakan sebagai Gedung Muktamar Muhammadiyah dan Aisyiyah ke-46 yang dijadualkan berlangsung pada November tahun 2027 kelak.

Projek berimpak tinggi itu menelan belanja keseluruhan berjumlah RP323 bilion bersamaan hampir RM92.6 juta.

Kemudahan baharu itu dijangka menjadi mercu tanda kecemerlangan pendidikan, dakwah, serta kegiatan sosial Muhammadiyah dan Aisyiyah, bukan sahaja di Sumatera tetapi juga di peringkat rantau Asia Tenggara.

Sepanjang lawatan, Baginda berkenan meluangkan masa hampir setengah jam mendengar sembah taklimat mengenai hala tuju projek yang disampaikan oleh Rektor UMSU, Profesor Dr. Agussani.

Taklimat tersebut memberi penjelasan mengenai konsep rekabentuk bangunan, fasa pelaksanaan serta potensi kegunaan jangka panjang yang mampu memperkukuh peranan UMSU sebagai pusat kecemerlangan umat Islam.

Kehadiran Baginda jelas menyerlahkan hubungan erat antara institusi Islam di Malaysia dan Indonesia yang sekian lama terjalin melalui jaringan dakwah, pendidikan dan kebajikan.

Dalam titah ringkasnya, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar pembangunan Gedung Berkemajuan yang sedang dirancang ini akan menjadi mercu tanda baharu bagi kecemerlangan UMSU, selain dapat dimanfaatkan secara optimum dalam jangka masa panjang oleh warga akademik, pelajar, dan masyarakat umum.

Baginda turut menekankan bahawa pembinaan gedung berskala besar ini wajar dijadikan pemangkin untuk memperkukuh peranan Muhammadiyah dan Aisyiyah dalam membangunkan modal insan yang seimbang dari sudut rohani, intelektual, dan sosial.

Baginda turut berkenan menyempurnakan penanaman pokok durian di kawasan tapak projek sebagai tanda kenang-kenangan.

Upacara simbolik itu melambangkan semangat subur persahabatan dan kerjasama yang berpanjangan antara institusi Islam Malaysia khususnya Perlis dan Indonesia.

Lawatan Tuanku Syed Faizuddin ke tapak pembangunan ini bukan sahaja mencerminkan sokongan terhadap usaha besar Muhammadiyah, malah turut menzahirkan aspirasi Baginda agar hubungan ilmiah dan dakwah antara Perlis dan Sumatera terus diperkukuh demi kemaslahatan umat Islam serantau.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN