KEMAMAN, 25 Oktober – Sekumpulan gajah liar memasuki kawasan penempatan Felda Neram Dua, Kemaman, Terengganu, sejak dua hari lepas.
Kira-kira 300 keluarga peneroka di kawasan berkenaan berasa bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah tersebut di sekitar kawasan kediaman mereka.
Menurut penduduk, kumpulan kira-kira empat ekor gajah liar itu turut memusnahkan tanaman penduduk dan kehadirannya yang terlalu hampir dengan rumah boleh mengancam keselamatan.
Penduduk mendakwa, kejadian gajah liar masuk ke kawasan kediaman merupakan yang pertama kali berlaku sejak mereka mula menjadi peneroka di felda berkenaan lebih 20 tahun lalu.
Seorang penduduk Felda Neram Dua Zawiyah Yahya berkata, kumpulan haiwan liar itu mula dilihat bergerak masuk ke kawasan kebun dan menghampiri rumah penduduk pada tengah malam tadi.
Keadaan itu menyebabkan pelbagai jenis tanaman penduduk termasuk pokok pisang dan kelapa dimusnahkan haiwan berkenaan.
Beberapa penduduk mengambil inisiatif mengadakan kawalan pada waktu malam bagi menghalang haiwan liar itu berkeliaran lagi walaupun menyedari tindakan tersebut berisiko.
"Saya bimbang dan risau. Sebenarnya malam ni memang rasa takut, tengok bekas tapak yang besar itu," katanya.
"Rasa bimbang sebab pukul 5.00 lebih kumpulan gajah itu datang, tengok, dekat sangat dengan rumah, dekat dapur. Memang saya bimbang, " kata seorang lagi penduduk Mohd Hafi Mohd Nor.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong mengesahkan telah menerima laporan berhubung kehadiran gajah liar berkenaan.
Menurut Loo, pihak Perhilitan kini sedang melakukan pemantauan dan telah mengambil tindakan kawalan di kawasan berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.