fb fb fb fb fb

PM terima lawatan rasmi Presiden Brazil dan Afrika Selatan hari ini

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima lawatan rasmi penting daripada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

Kedua-dua lawatan berprofil tinggi ini menjadi pembuka tirai kepada rangkaian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan, sekali gus memperkukuh jaringan hubungan luar Malaysia di rantau Amerika Selatan dan benua Afrika.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri berkata lawatan rasmi Lula da Silva menandakan lembaran baharu dalam hubungan diplomatik selain mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperjuangkan keadilan ekonomi serta kemakmuran sejagat.

"Hubungan ini turut diperkukuh sejak Datuk Seri Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS di Rio de Janeiro, Julai lalu apabila Malaysia terus membawa suara tegas bagi negara-negara Selatan dalam memperjuangkan sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa yang lebih adil, seimbang dan mampan.

"Pertemuan hari ini bakal memperkukuh komitmen kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang. Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global," jelasnya.

Menurut Tunku Nashrul, ini merupakan lawatan rasmi pertama Presiden Lula ke Malaysia sejak kembali menerajui pemerintahan pada 2023.

Sementara itu, berhubung lawatan Presiden Afrika Selatan, Tunku Nashrul berkata, lawatan itu bagi memperkukuh hubungan bersejarah antara Malaysia dan Afrika Selatan yang berasaskan nilai keadilan, solidariti serta pembangunan bersama.

Ujarnya, ini juga merupakan lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Presiden pada 2018.

"Hubungan ini juga akan diperkukuh melalui lawatan Perdana Menteri ke Afrika Selatan bulan hadapan, yang akan diadakan bersempena Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg. Ia menandakan komitmen Malaysia untuk memperluas kerjasama dengan rakan-rakan strategik di benua Afrika serta memperkukuh jaringan Selatan-Selatan," katanya.

Tambah beliau, menerusi pertemuan tersebut kedua-dua pemimpin dijangka menumpukan kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, industri halal, pertahanan, sains dan inovasi termasuk bioteknologi, digitalisasi dan pembangunan kemahiran.

Tunku Nashrul berkata, Malaysia turut mengiktiraf Afrika Selatan sebagai rakan dagang terbesar di benua itu dan berhasrat memperluas pasaran eksport minyak sawit serta meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam tenaga, pertanian dan pembuatan bernilai tinggi.

Beliau memberitahu, kedua-dua pemimpin juga menzahirkan sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin, dengan Malaysia merakamkan penghargaan terhadap peranan kepimpinan Afrika Selatan dalam membawa isu kemanusiaan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN