fb fb fb fb fb

Hampir 2,000 penduduk berlindung di 14 PPS di Kedah

Antara penduduk terjejas dipindahkan akibat banjir di Kedah / Foto RTM

KULIM, 25 Oktober - 1,858 penduduk daripada 587 keluarga berlindung di 14 Pusat Permindahan Sementara (PPS) di empat daerah di Kedah, setakat pukul 11:00 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kedah dalam kenyataan memaklumkan, paling ramai di Kulim, menyaksikan 1,470 penduduk terjejas daripada 449 keluarga ditempatkan di lapan PPS.

Lapan PPS dibuka di Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kg Paya Tok Betok, SMA Isaniah Kangkang, Sk Pagar Museh, SJKC Khai Min, Dewan Orang Ramai Sg Karangan, Surau Kg Padang Meha dan SK Merbau Pulas.
 
Sementara itu, di Baling, 251 orang daripada 88 keluarga berada di empat PPS iaitu di SK Siong, SK Seri Bayu, Dewan Tun Abdul Razak dan Kompleks Belia dan Sukan, Baling.
 
Di Pokok Sena, sebuah PPS dibuka di Dewan Serbaguna Pokok Sena menempatkan 85 penduduk daripada 26 keluarga.

Manakala di daerah Kuala Muda, 52 penduduk terjejas daripada 24 keluarga berada di PPS SJKC Choong Cheng.
 

EMMI NORALIZA ADNAN