(Datuk Seri Fadillah Yusof semasa melawat kilang Bidco Africa Limited
di Thika, Kenya/Fb Fadillah Yusof)
NAIROBI, 6 Julai- Malaysia sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam sektor perladangan kelapa sawit kepada negara luar yang berminat.
Kerjasama seumpama ini akan membuka pasaran lebih luas bagi Malaysia dan memanfaatkan industri sawit negara.
Menerusi bajet tahunan yang dibentangkan untuk tempoh Julai 2023 hingga Jun 2024, Kerajaan Kenya berhasrat memulakan projek ladang kelapa sawit di negaranya.
Ia merupakan satu berita baik untuk pemain industri di Malaysia bagi mengembangkan pasaran bukan hanya mengeksport produk berasaskan sawit, malah membuka ladang sawit di Kenya.
Populasi yang tinggi serta peningkatan pendapatan boleh guna, menjadikan Kenya serta Afrika Timur sebagai destinasi pelaburan minyak sawit yang berpotensi tinggi.
(Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof)
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkongsian dan kerjasama strategik Malaysia-Kenya perlu diperluas untuk meneroka platform perdagangan baharu terutama dalam sektor perladangan.
"Kita perlu berkolaborasi, tidak boleh duduk bersendirian. Malah pasaran dunia atau persaingan adalah baik, sebab itu kita melihat sebagai peluang kalau mereka ingin membuka ladang.
"Di sinilah peranan kita untuk membekalkan kepakaran disini. Dari segi pembangunan penyelidikan, kita memberi sokongan teknikal dan menggalakkan syarikat kita venture sebagaimana kita melaksanakan dengan Indonesia", katanya.
Pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan MSPO juga memberikan lebih keyakinan kepada negara luar.
Ini kerana MSPO memfokuskan kepada tiga perkara iaitu penjanaan keuntungan, melestarikan alam sekitar dan mencari keseimbangan keperluan manusia. Ia akan menjadi contoh penerapan amalan perladangan sawit yang baik.
Laporan oleh Wartawan RTM Tun Julia Mohd Tahir.