fb fb fb fb fb

Sektor pendidikan, kesihatan diperkasa dalam Belanjawan 2026

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ditemui media selepas merasmikan Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE) 2025 di ibu negara /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 OKTOBER- Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat ini akan memberi fokus utama kepada sektor pendidikan dan kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan sentiasa menunjukkan komitmen berterusan terhadap dua tunjang utama ini bagi memastikan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan pendidikan yang berkualiti serta penjagaan kesihatan yang komprehensif untuk semua lapisan masyarakat.

"Kalau kita lihat, tumpuan kerajaan sentiasa diberikan kepada pendidikan dan kesihatan", katanya selepas merasmikan Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE) 2025 di sini, hari ini.

Beliau turut menyuarakan harapan agar kerajaan memberi tumpuan dan peruntukan yang sewajarnya bagi melaksanakan projek-projek pembangunan kritikal, khususnya yang melibatkan isu banjir, bekalan tenaga, dan air bersih, demi kesejahteraan rakyat di setiap negeri.

"Peruntukan yang besar bukan sahaja disalurkan untuk pentadbiran negeri-negeri, tetapi juga bagi melaksanakan projek-projek yang bertujuan menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh setiap negeri sama ada dalam konteks banjir, tenaga, bekalan air, pembangunan, mahupun bantuan kepada rakyat,memang menjadi harapan semua agar perkara ini dapat direalisasikan", katanya lagi.

Belanjawan kali ini akan menumpukan kepada tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat, dan memacu pembaharuan, khususnya dalam aspek tadbir urus yang baik. 

SITI NOORAIN ABDULLAH