KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, diundang ke Sidang Kemuncak ASEAN pada hujung bulan ini atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dan bukannya atas jemputan dua hala.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata selaku pengerusi, Malaysia berkewajipan menjemput semua rakan dialog ASEAN selaras dengan prinsip berkecuali dan berpusatkan ASEAN.
“Malaysia sebenarnya berkewajipan untuk menjemput semua rakan dialog ASEAN kerana kita bertindak sebagai Pengerusi ASEAN, bukan atas kapasiti sebagai Malaysia secara individu.
"Jemputan kepada Donald Trump juga bukan jemputan dua hala biasa, tetapi dibuat dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Tanggungjawab ini selaras dengan prinsip berkecuali dan berpusatkan ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan tambahan Senator Wan Ahmad Fayhsal, Mohamad menegaskan jemputan itu tidak bermakna Malaysia berkompromi dengan prinsip perjuangan Palestin, sebaliknya membuka ruang untuk menyuarakan pandangan negara dan rantau ASEAN secara kolektif.
“Hamas sendiri telah menyambut baik pelan 20 perkara yang dikemukakan oleh Donald Trump. Jadi, mengapa pula kita tidak boleh menyokong atau membantu memperkukuh pendirian ini? Janganlah kita jadi lebih Hamas daripada Hamas. Apa yang penting, kita mahu melihat perdamaian di Palestin.
“Kehadiran Trump di Kuala Lumpur nanti perlu dilihat secara objektif, atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Walaupun kita tetap prihatin terhadap isu Palestin, kita juga harus menilai manfaat yang lebih luas termasuk hubungan dagangan dan pelaburan antara ASEAN dan Amerika Syarikat yang amat besar,” katanya.
Beliau turut menekankan pendirian Perdana Menteri dan Menteri Luar terhadap Palestin kekal tegas, dan kehadiran Trump boleh memperkukuh usaha ke arah keamanan bersama negara-negara sehaluan seperti Qatar dan Mesir.
“Kita akan mengambil kesempatan dengan kehadiran Donald Trump di Kuala Lumpur untuk menyuarakan kegusaran dan pandangan kita. Yang paling penting, kerjasama ini dapat dimantapkan antara Malaysia, ASEAN dan Amerika Syarikat dalam usaha menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Kita mahu Palestin dibebaskan daripada ancaman genosid dan kemusnahan, serta memastikan pembinaan semula Gaza dapat dijalankan, insya-Allah,” katanya.
Mengulas lanjut, Datuk Mohamad Alamin berkata, pelan damai 20 perkara yang diumumkan Trump dijangka memberi dimensi baharu kepada usaha menamatkan konflik di Gaza.
“Apabila Donald Trump mengumumkan pelan 20 perkara ini, manfaat besarnya ialah arahan untuk menghentikan segera serangan dan pengeboman Israel di Gaza. Inilah yang kita mahu, pemberhentian pengeboman, genosid dan kemusnahan.
“Yang paling penting, pelan ini membuka ruang kepada masyarakat dunia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, sesuatu yang sebelum ini amat sukar dilakukan,” katanya.