PUTRAJAYA, 6 Oktober- Kehadiran rakyat Pakistan di Malaysia sama ada sebagai profesional, pekerja mahir atau pelajar memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan komited meneliti kebajikan serta keperluan komuniti Pakistan di negara ini, termasuk mereka yang telah mencapai tahap lebih tinggi dalam kerjaya dan pendidikan.
"Saya berbesar hati untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan para profesional dan pekerja dari Pakistan di Malaysia termasuk pelajar di universiti-universiti tempatan.
"Bagi mereka yang telah melangkah ke tahap lebih tinggi dan memerlukan sokongan, kami akan meneliti kebajikan serta hasrat mereka untuk terus menetap di sini," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di sini, hari ini.
Terdahulu, Shehbaz diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Shehbaz dan delegasi rasmi beliau tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Anwar.
Lawatan rasmi tiga hari pemimpin Pakistan itu dijangka memperkukuh hubungan dua hala sedia ada selain membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pembangunan teknologi.
Sempena lawatan itu, Malaysia dan Pakistan turut menandatangani lima Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama pelbagai sektor.
MoU berkenaan merangkumi kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, pelancongan dan pensijilan halal antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Islam Pakistan.