fb fb fb fb fb

Malaysia, Pakistan perluas kerjasama dalam bidang sains dan teknologi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif (kiri) selepas sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Oktober – Malaysia dan Pakistan sepakat untuk memperluas kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi bagi memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara bidang berpotensi tinggi untuk diterokai bersama ialah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Latihan dan Pendidikan Teknikal (TVET), ekonomi digital, elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.

“Saya berpendapat bidang-bidang ini merupakan sektor baharu yang berpotensi besar. Pakistan ialah sebuah negara Islam yang jelas menunjukkan kemajuan awal dalam bidang-bidang tersebut, dan oleh itu potensinya masih luas.

“Kini setelah kita berjaya mengekalkan kestabilan dalam negara, kita sudah pasti mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, kedua-dua negara berdepan dengan cabaran geopolitik semasa yang memerlukan kerjasama lebih erat, khususnya dalam sektor-sektor baharu yang mempunyai potensi besar untuk diterokai bersama.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN