fb fb fb fb fb

PM adakan jamuan tengah hari bersama Shehbaz di Seri Perdana

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif pada Majlis Jamuan Makan Tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana/BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Oktober -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif dalam satu majlis jamuan tengah hari di Seri Perdana, sempena lawatan rasmi tiga hari pemimpin itu ke Malaysia.

Ketibaan Perdana Menteri Pakistan disambut penuh adat dan kemeriahan, menampilkan persembahan tarian kebudayaan oleh 28 penari Istana Budaya yang mempersembahkan kepelbagaian kaum di Malaysia.

Majlis turut diserikan dengan penyertaan 62 murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(3) yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Pakistan sebagai simbol persahabatan dua negara.

Jamuan tengah hari yang berlangsung di Dewan Bankuet Seri Perdana itu turut dihadiri barisan jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan Malaysia yang mengiringi Perdana Menteri.

Antaranya ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Haji Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi merangkap Menteri Pengiring, Datuk Fahmi Fadzil; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Majlis jamuan tengah hari di Seri Perdana itu berlangsung selepas kedua-dua pemimpin menyempurnakan sidang media bersama dan sesi pertemuan rasmi di Kompleks Perdana Putra.

Lawatan rasmi Muhammad Shehbaz Sharif itu menandakan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin lebih tujuh dekad dengan tumpuan kepada bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pensijilan halal, pelancongan dan pertahanan.

Majlis Jamuan Tengah Hari itu berlangsung dalam suasana penuh mesra, mencerminkan keakraban hubungan dua hala serta semangat persaudaraan Islam antara kedua-dua negara berasaskan matlamat bersama ke arah keamanan, pembangunan dan kemakmuran serantau.

TETITIA YUSOFF