PUTRAJAYA, 6 Oktober- Malaysia bersedia meneliti cadangan Pakistan untuk mengeksport daging halal bernilai sehingga AS$200 juta (RM842 juta) ke pasaran tempatan sebagai usaha memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif semasa perbincangan dua hala yang diadakan di sini, hari ini.
"Dalam sektor pertanian, kita telah meningkatkan import beras. Pakistan turut menyatakan minat untuk mengeksport daging ke Malaysia.
"Kami akan meneliti cadangan tersebut dan jika harga yang ditawarkan kompetitif, seperti jumlah yang disebut sehingga AS$200 juta (RM842 juta), maka ia akan dipertimbangkan secara sewajarnya," katanya pada sidang media bersama Shehbaz Sharif di Putrajaya.
Terdahulu, Shehbaz Sharif diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Beliau dan delegasi rasmi tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lawatan rasmi tiga hari pemimpin Pakistan itu dijangka memperkukuh hubungan dua hala sedia ada selain membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pembangunan teknologi.