SANDAKAN, 6 Oktober – Kementerian Pertahanan memberi jaminan penuh untuk memastikan pembinaan jeti baharu Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Jaminan itu disuarakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika meninjau projek pembinaan jeti yang kini telah mencapai 75 peratus kemajuan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan, hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/RTM
“Kita akan memberi segala kerjasama bagi memudahkan pelaksanaan kerja-kerja ini, supaya tidak ada alasan mengapa ia tidak boleh disiapkan pada tarikh yang telah dipersetujui, iaitu 6 Mei 2026,” katanya dalam didang media, di sini.
Projek bernilai RM122.9 juta yang bermula sejak tahun 2022 itu dijangka mampu menampung sehingga 20 kapal tentera, sekali gus memperkukuh keupayaan operasi pertahanan negara di Laut Cina Selatan.
Dalam rangka lawatan dua hari ke Sandakan, Datuk Seri Khaled turut melawat tapak Program Ekonomi MADANI di Kem Sri Kinabatangan bagi projek madu kelulut, serta Taman Samudera bagi projek hidroponik.