BALAKONG, 6 Oktober- Kapal Conscience yang membawa aktivis dan sukarelawan misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) termasuk sembilan delegasi Malaysia meneruskan pelayaran ke Gaza selepas berhenti seketika di perairan Mediterranean petang semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, penghentian sementara itu bagi menyelaraskan semula pelayaran dan menunggu ketibaan lapan kapal lain yang turut serta dalam misi tersebut.
"Kapal Conscience berhenti seketika untuk menyusun strategi pelayaran bagi menunggu lapan kapal lain termasuk kapal Um Musaad yang membawa seorang doktor dari Malaysia, Dr. Faziah Jadis.
"Semua kapal ini akan bergabung menuju ke zon kuning bersama Prof. Alauddin, selaku ketua delegasi Malaysia," katanya dalam sesi taklimat mengenai misi tersebut di sini hari ini.
Beliau menambah pelayaran kali ini sengaja mengelak tiba di Gaza pada 7 Oktober bagi menghindari kemungkinan Israel menggunakan tarikh tersebut sebagai alasan untuk menyerang atau memintas konvoi serta mengaitkan kejadian Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023.