fb fb fb fb fb

Mayat reput ditemukan di belakang Masjid Jamek Muhammadi

Foto fail/RTM

KOTA BHARU, 6 Oktober -Mayat seorang lelaki dalam keadaan reput ditemukan di tepi sungai, belakang Masjid Jamek Muhammadi, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu daripada orang awam pada 10.20 malam tadi.

Beliau berkata, siasatan dilakukan di tempat kejadian mendapati, mayat dalam keadaan mereput, berpakaian seluar jeans paras lutut berwarna biru cerah dan tanpa pengenalan diri.

Katanya, mayat tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.

"Hasil bedah siasat yang diperoleh pada 9.00 pagi tadi mendapati, tiada sebarang suntikan BCG dan mangsa telah meninggal dunia dalam anggaran tempoh lima hingga tujuh hari," katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, pihak forensik juga tidak menemui sebarang kecederaan luaran pada badan mangsa dan punca kematian tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat yang telah mereput. 

Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai Laporan Mati Mengejut.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut tampil bagi memberi keterangan dengan menghubungi Sarjan Mohd Fazle Mat Ali atau menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.

TETITIA YUSOFF