fb fb fb fb fb

Akses keadilan wanita diperkasa melalui pemodenan Mahkamah Syariah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Usaha mempertingkat akses keadilan wanita dalam kes kekeluargaan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif pemodenan Mahkamah Syariah serta program advokasi literasi undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk program turun padang bersama komuniti, pelaksanaan Pelan Literasi Perundangan Syariah Kebangsaan, serta Klinik Undang-Undang Dalam Talian yang memberi ruang kepada wanita mendapatkan rundingan hukum dengan lebih mudah.

“Antara usaha yang dilaksanakan termasuk program turun padang bersama komuniti bagi memperkukuh literasi undang-undang Syariah serta memberi kefahaman kepada wanita tentang hak-hak mereka dalam isu kekeluargaan di seluruh Malaysia.

“Antaranya ialah Program Literasi dan Karnival Undang-Undang Syariah, Komuniti Suluh dan Rakan Suluh Komuniti, Konvensyen Harta dan Undang-Undang Wanita dan banyak lagi,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata, di bawah inisiatif Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Program Cakna Syariah Lestari Madani akan melaksanakan Pelan Literasi Perundangan Syariah Kebangsaan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap undang-undang Syariah, khususnya dari aspek pelaksanaan dan penghayatannya.

Selain itu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) turut menganjurkan Klinik Undang-Undang Dalam Talian setiap bulan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan (PPWWP) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Program ini dilaksanakan secara dalam talian melalui platform media sosial Facebook dan YouTube JKSM serta PPWWP. Rentetan itu, JKSM juga telah menyediakan platform e-Konsultasi kepada penonton program Online Legal Clinic (Klinik Undang-Undang Dalam Talian) yang menawarkan khidmat runding cara dan nasihat perundangan Syariah secara dalam talian,” ujarnya.

Tambahnya, sistem e-Syariah turut diperkukuh melalui pembangunan aplikasi mudah alih, modul e-Nafkah untuk pemantauan perintah nafkah serta kemudahan pra-pendaftaran kes secara kendiri.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery. Semua orang boleh mendaftar serta menyemak status kes nafkah, perceraian, hak penjagaan anak dan harta sepencarian secara kendiri tanpa perlu hadir ke mahkamah.

“Langkah-langkah ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan sistem keadilan Syariah lebih telus, mesra pengguna dan berkesan, khususnya dalam melindungi hak wanita serta anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, TV AlHijrah, IKIM FM dan beberapa agensi lain turut giat memperluas advokasi hak wanita melalui program berbentuk pendidikan masyarakat seperti Assalamualaikum An-Nisa’, Bicara Fail Syariah, serta Dari Hati di IKIM FM yang memberi fokus kepada isu keluarga, hibah, harta pusaka dan hak wanita.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN