KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Kementerian Pertahanan sedang memperkukuh kepakaran dalam bidang peperangan elektronik (EW), siber dan operasi dron.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkara itu selaras dengan perkembangan peperangan moden melibatkan dron tempur, peluru berpandu jarak jauh dan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Fokus turut tertumpu kepada peningkatan kawalan pangkalan dan aset strategik melalui teknologi pengesanan serta pencegahan pesawat tanpa pemandu (UAV).
"Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melaksanakan beberapa perolehan aset baharu seperti sistem UAV Anka-S yang meningkatkan keupayaan pemantauan dan pengumpulan maklumat risikan.
"Pada masa ini, ATM mempunyai keupayaan asas dalam EW dan pertahanan udara jarak dekat untuk menghadapi ancaman udara tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail mengenai tahap kesiapsiagaan semasa ATM khususnya aset ketenteraan dalam berhadapan dengan kemunculan sistem pensenjataan moden dan canggih seperti dron tempur, peluru berpandu jarak jauh, peperangan elektronik dan terkini
teknologi AI.
Tambahnya, Kementerian Pertahanan turut mempergiat kerjasama dengan rakan strategik serantau dan antarabangsa dalam bentuk latihan bersama dan perkongsian teknologi serta kepakaran.