KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Pemantauan terhadap pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dilaksanakan secara berterusan sehingga ke dunia pekerjaan.
Ia bagi memastikan nilai disiplin, patriotisme dan jati diri yang diterapkan semasa latihan terus diamalkan dalam kehidupan sebenar.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pendekatan baharu itu menjadikan PLKN 3.0 lebih menyeluruh dan berkesinambungan berbanding pelaksanaan sebelum ini yang berakhir selepas tamat latihan.
"Kita kini berada di fasa ketiga, iaitu fasa pemantauan terhadap dunia pekerjaan mereka. Kita sedar bahawa kesinambungan ini amat penting. Oleh itu, penglibatan mereka dalam badan-badan beruniform, khususnya di bawah Kementerian Pertahanan seperti Askar Wataniah, turut diberikan perhatian.
"Berbeza dengan pelaksanaan terdahulu yang berakhir setakat PLKN, kali ini peserta akan dipantau sehingga ke alam pekerjaan. Jika mereka berjaya memperoleh pekerjaan yang baik, secara tidak langsung ia akan memberi impak positif kepada pembangunan negara.
"Inilah yang dimaksudkan sebagai satu rantaian berterusan – bagaimana masa depan negara dibangunkan, dan bagaimana maklumat disalurkan bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara," katanya.
Penyataan itu bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan.
Tambahnya, Kementerian Pertahanan menerusi Jabatan Latihan Khidmat Negara kini sedang melaksanakan kerangka pascanilai komprehensif, telus dan berlapis bagi menilai keberkesanan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Penilaian dalaman terhadap 560 pelatih Siri 1 dan Siri 2 tahun 2025 menunjukkan tahap kepuasan yang positif, dengan 82.5 peratus peserta menyatakan program itu berjaya meningkatkan disiplin, semangat kenegaraan dan perpaduan.