fb fb fb fb fb

Sekolah vernakular: KPM tiada perancangan buat penilaian menyeluruh setakat ini

Fadhlina Sidek

JENJAROM, 11 Mac- Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai perancangan untuk membuat penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular setakat ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebarang tindakan atau keputusan mengenai ekosistem pendidikan sedia ada mesti berdasarkan ketetapan yang terkandung di dalam Akta Pendidikan 1996.

"Kita mendengar pandangan tersebut tetapi untuk hari ini pendirian KPM adalah untuk berdiri tegak (bersandarkan Akta Pendidikan 1996), untuk perkukuh akta berkenaan.

"Sekolah vernakular sebagaimana yang saya tegaskan sebelum ini (adalah) diiktiraf oleh Akta Pendidikan dan kita akan teruskan dengan pendirian tersebut, berdasarkan Akta Pendidikan," katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra, Jenjarom, dekat sini hari ini.

Ditanya mengenai usaha memperkukuhkan bahasa kebangsaan di sekolah vernakular, beliau berkata, ia sememangnya adalah agenda utama KPM.

"Itu memang agenda besar kita. Saya fikir dalam kedudukan hari ni, bahasa kebangsaan masih jadi keutamaan, di samping perkukuh bahasa Inggeris," katanya.

SITI AISHAH MD ISA