KOTA BHARU, 11 Mac- Penjara di Kelantan dilaporkan dalam keadaan kritikal apabila penghuni melebihi sebanyak 87 peratus.
Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob berkata, penjara di negeri itu hanya dapat menampung penghuni lebih 3,000 orang sahaja, namun kini terdapat lebih 7,000 banduan di semua penjara iaitu Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Pusat Koreksional Machang.
Beliau berkata, kapasiti itu melibatkan kemasukan penghuni sama ada sebagai banduan reman atau banduan sabitan.
"Kita masih mampu tetapi keadaannya yang cukup kritikal dengan kadar kemasukan penjara di negeri Kelantan sama ada sebagai banduan reman atau banduan sabitan.
"Kesesakan sudah mencapai peringkat 87 peratus daripada kapasiti asal,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Hari penjara ke-234 peringkat Kelantan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa Kota Bharu hari ini.
Dalam majlis tersebut, Pemangku Pengarah Penjara Pengkalan Chepa Mohamad Saizi Ibrahim menyerahkan tugas kepada Pengarah baharu, Kamarulzaman Ismail.
Sementara itu, jelas beliau, mengenai Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah (home detention) kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah juga akan memberi impak yang positif.
Ia termasuk dapat melancarkan pengurusan dan mengelakkan kegagalan penjara untuk memberi layanan sepatutnya kepada banduan.