fb fb fb fb fb

Sekolah Rendah Seri Budiman, UPSI lebarkan fungsinya sebagai universiti pendidikan ulung

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maju setapak lagi dengan penubuhan Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) bagi melebarkan fungsinya sebagai universiti pendidikan ulung negara / Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 5 Mac - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maju setapak lagi dengan penubuhan Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) bagi melebarkan fungsinya sebagai universiti pendidikan ulung negara.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata untuk pengambilan sulung, seramai 28 murid tahun satu akan belajar di sekolah persendirian yang dibangunkan di dalam kampus tersebut.

Beliau yakin, SRSB mampu mencipta kejayaan dalam pembelajaran dan pencapaian yang membanggakan.

“UPSI menyokong pendidikan di sekolah ini yang dapat membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), malah konsep BITARA adalah pendekatan yang mampu memacu kejayaan, tidak hanya di peringkat nasional, tetapi juga antarabangsa," katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka SRSB di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini.

Sementara itu, Guru Besar SRSB, Dr. Kama Shaffeei dalam ucapan aluannya menekankan bahawa fokus penubuhan sekolah itu adalah untuk melahirkan pemimpin masa depan, mengintegrasikan pendekatan neoterik berasaskan teknologi serta memberi tumpuan kepada kerjasama dengan ibu bapa melalui “Parent Support Group (PSG).

“Fasiliti UPSI baik dari kolam renang, stadium sehingga ke perpustakaan, kesemuanya terbuka kepada warga SRSB, termasuk khidmat nasihat pakar pendidikan," katanya.

Tambah Dr. Kama, konsep penubuhan sekolah tersebut adalah sebagai perkongsian kepakaran dan usaha bersama untuk menerjemahkan idea serta inovasi dalam kurikulum dan menjadi platform rujukan pendidikan, menerapkan kaedah pembelajaran inovatif dan penyelidikan terkini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN