fb fb fb fb fb

Lestarikan Bahasa Kolokial - Aaron

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang

KOTA BHARU, 5 Mac - Bahasa Kolokial di negara ini perlu dilestarikan agar tidak diancam kepupusan, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Sehubungan itu, kementerian melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) mempergiatkan lagi pendokumentasian Bahasa Kolokial di beberapa buah negeri pada tahun ini agar terus terpelihara dan dimartabatkan.
 
Katanya, ANM juga akan menjadi hub rujukan bahasa berkenaan yang merupakan sebahagian daripada seni dan budaya kepelbagaian masyarakat di negara ini.
 
Beliau berkata, usaha yang bermula sejak tahun lalu itu sehingga kini telah berjaya mendokumentasikan kira-kira 50 bahasa dialek utama termasuk ejaan dan cara sebutan perkataan.
 
"Kita dokmentasikan semua bahan ini, kita menjadi hub untuk rujukan pelajar pada masa depan. Memang kita jadi hub lah, sebab semua barang-barang ini disimpan di arkib, akan pupus kita harap tidak adalah, mungkin dulu ada, tetapi salah satu sebab kita ingin membuat  bicara kolokial untuk dokumentasikan dan disimpan di arkib supaya dia tidak akan pupus," kata Aaron dalam sidang media selepas merasmikan program Bicara Bahasa Kolikial : Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 'Cakno Loghat Kelate'," di sini.

Mengulas lanjut katanya, pelestarian bahasa bukanlah menolak bahasa standard yang menjadi bahasa penyatuan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, tetapi lebih kepada mendokumentasikannya bagi mengelakkan daripada bahasa tersebut yang menjadi identitas suatu kelompok masyarakat atau etnik daripada pupus.
 
Jelasnya, buku pendokumentasian dan pameran berhubung kepelbagaian Bahasa Kolokial ini akan dilancarkan pada Oktober depan menerusi Konvesyen Bahasa Kolokial Kebangsaan.

TETITIA YUSOFF