fb fb fb fb fb

Sekolah perlu rujuk polis sebelum keluar notis mengenai kes culik - Radzi

PUTRAJAYA, 1 Oktober - Pihak sekolah perlu merujuk kepada polis terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang notis pemakluman atau peringatan mengenai insiden dikaitkan dengan kes cubaan menculik murid.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, notis seumpama itu, terutama berita tidak benar hanya akan menimbulkan kegusaran.

"Sebab itu saya kata pihak sekolah supaya rujuk polis, maklumkan kepada kami supaya ia tidak menjadi satu kerisauan baharu dalam masyarakat.Ya... memang kita perlu beringat dalam masa sama kita tidak perlu menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa," kata Dr Radzi di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kewajaran pihak pengurusan sekolah mengeluarkan notis peringatan mengenai kes culik di kawasan persekolahan.

Perkara sedemikian didakwa mencetuskan rasa panik dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, ditambah dengan video tular kononnya berlaku cubaan culik tanpa diperiksa kesahihannya.

Beliau pada masa sama, mengharapkan pihak sekolah untuk terus menerapkan aspek keselamatan murid agar tidak mendekati individu yang tidak dikenali.

(Dr Radzi bercakap dalam sidang media selepas
Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15, di sini)

"Penjagaan keselamatan adalah sebahagian daripada perkara yang sentiasa kita buat termasuk keselamatan lalu lintas, sebagai contohnya," katanya.

Mengenai Kompleks Sekolah Presint 15, pembinaan sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan itu menelan belanja RM121 juta dan dijangka siap pada Ogos 2025.

“Ini merupakan kompleks pertama untuk penduduk di Presint 15, sebelum ini di Presint 15 tiada sekolah rendah mahupun menengah.

“Dengan pembinaan kompleks ini yang mengandungi 36 bilik darjah bagi sekolah rendah dan 30 (sekolah menengah) ia tentunya akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar,” katanya dan menambah kompleks tersebut berkeluasan 5.9 hektar.

Media Baharu