fb fb fb fb fb

LRT laluan Kelana Jaya terganggu lebih 5 jam akibat suis landasan rosak

Gambar file RapidKL

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya terganggu lebih lima jam hari ini susulan gangguan pada sistem suis landasan di antara Stesen Pasar Seni dan Bangsar, sebelum operasi kembali pulih pada pukul 11.10 pagi tadi.

Menurut kenyataan Rapid Rail, gangguan dikesan seawal pukul 5.30 pagi, menyebabkan tren dari arah Gombak ke Putra Heights terpaksa dipandu secara manual antara dua stesen terbabit.

Ini sekali gus menyebabkan tren bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di setiap platform.

“Pasukan kejuruteraan berjaya melaksanakan kerja baik pulih peringkat awal pada pukul 10.56 pagi, dan pasukan operasi kemudian menjalankan ujian sistem serta komponen landasan bagi memastikan perkhidmatan selamat untuk disambung semula,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Rapid Rail memaklumkan kerja-kerja baik pulih sepenuhnya akan diteruskan selepas tamat waktu operasi, bagi mengurangkan gangguan kepada penumpang.

“Pihak kejuruteraan dan operasi akan terus memantau perjalanan tren sepanjang waktu operasi. Siasatan terperinci juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca gangguan agar tidak berulang,” katanya.

Rapid Rail turut merakamkan penghargaan kepada penumpang atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan pagi tadi.

GRACE AISYAH KEDAYAN