Sekolah dua sesi untuk murid prasekolah, darjah satu tangani kesesakan

 Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mempertimbangkan pelaksanaan persekolahan dua sesi bagi menangani masalah kesesakan di beberapa sekolah bandar terutama membabitkan murid prasekolah dan darjah satu pada tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertimbangan pelaksanaan persekolahan dua sesi sementara bagi murid prasekolah dan darjah satu untuk atasi kesesakan sekolah bandar.
  • Keutamaan diberikan kepada penyediaan guru dan bilik darjah agar pendidikan bermutu dapat diteruskan.
  • Kerajaan menyediakan peruntukan tambahan bagi pelaksanaan murid enam tahun memasuki darjah satu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah segera itu bagi memastikan pendidikan bermutu dapat diberikan kepada semua murid.

“Bagi sekolah-sekolah yang dianggap sesak, pemikiran Kementerian Pendidikan sekarang dan beberapa sekolah, terutama untuk peringkat anak-anak kecil darjah satu dan prasekolah itu boleh dibuat dua sesi buat sementara.

“Saya fikir, cara idealnya kita boleh fikir satu sesi, tapi yang penting ialah pendidikan bermutu. Jadi saya setuju, kita ambil langkah-langkah segera.

“Kalau saya dapat pengumuman taklimat dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Ekonomi dan Kewangan, memang dana yang disediakan pun tinggi. Yang perlu diutamakan ialah guru dan itu memang boleh diselesaikan, bilik darjah untuk menghadapi sekolah-sekolah bandar yang sesak”, katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur mengenai kesiapsiagaan sekolah yang mempunyai kepadatan murid yang akan mengalami pertambahan murid tahun satu dan prasekolah selepas mereka memilih persekolahan pada usia lima dan enam tahun mulai tahun depan, sewaktu Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen.

Terdahulu, beliau telah memaklumkan kerajaan sudah menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM800 juta bagi memenuhi keperluan pelaksanaan murid enam tahun memasuki darjah satu.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan