fb fb fb fb fb

Sekolah agama bawah JAIS dalam proses pendigitalan - MYNIC

(Atas tengah) Gobind Singh Deo bersama penghuni Pusat Jagaan Rumah Nur Sakinah Hasnul Fadhly serta pengurus pusat jagaan, Safiyyah Azmi (atas kiri) dan Hasnul Fadhly (atas kanan)

CYBERJAYA, 10 Jun- Kementerian Digital menerusi agensi MYNIC Berhad (MYNIC) kini dalam usaha mendigitalkan semua sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts. Hasnul Fadhly berkata, inisiatif berkenaan bagi membantu sekolah-sekolah tersebut untuk berhubung serta mengukuhkan jenama mereka agar tidak ketinggalan dan kekal relevan dalam industri digital.

"MYNIC telah menyusun beberapa program kemasyarakatan untuk merancakkan pendigitalan komuniti tetapi terdekat yang kami sedang usahakan adalah untuk mendigitalkan sekolah agama di bawah JAIS dengan menawarkan pembangunan laman web menggunakan nama domain EDU.MY," katanya pada Program #IkhlasMYNIC Kunjungan Kasih Aidiladha di Damansara Damai, Selangor, baru-baru ini.

Hasnul berkata, MYNIC yang berperanan memacu pendigitalan negara melalui transformasi ekonomi digital akan menyahut seruan Kerajaan MADANI dalam menggerakkan rakyat daripada pelbagai komuniti menjalankan operasi perniagaan atau organisasi masing-masing dalam talian.

Sementara itu, seramai 40 orang anak-anak yatim dan asnaf berumur empat sehingga 12 tahun yang menghuni Pusat Jagaan Rumah Nur Sakinah di Damansara Damai telah diraikan pada Program #IkhlasMYNIC Kunjungan Kasih Aidiladha, Sabtu lalu.

Turut hadir pada program itu adalah Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.

"MYNIC telah memperuntukkan hampir RM30,000 dalam penganjuran majlis ini yang terdiri daripada sumbangan tunai RM10,000, pembangunan laman web dengan langganan selama tiga tahun, banner yang baharu, barangan keperluan asas seperti lampin pakai buang, susu tepung, makanan kering, barangan mandian, dan pertandingan melukis serta mewarna," menurut MYNIC dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Pengurus Pusat Jagaan Rumah Nur Sakinah, Safiyyah Azmi menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati dengan anjuran program tersebut.

"Saya mengucapkan terima kasih dan amat terharu dengan kunjungan serta sumbangan MYNIC serta pihak Parlimen Damansara yang sedikit sebanyak dapat membantu kami meneruskan hari-hari kami di sini bersama anak-anak.

"Saya lihat anak-anak sangat gembira dengan aktiviti yang dianjurkan," katanya.

SITI AISHAH MD ISA