fb fb fb fb fb

Sebarang aktiviti jejaskan ekosistem Tasik Chini dihentikan, lanjut sidang parlimen esok - Takiyuddin

(Tasik Chini/Foto hiasan)

KOTA BHARU, 3 Ogos- Sebarang aktiviti termasuk kelulusan baharu pengambilan pasir dan mineral atau sebarang aktiviti yang menjejaskan ekosistem Tasik Chini, di Pekan Pahang sudah dihentikan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tindakan tersebut diambil susulan laporan berkala pertama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai Tasik Chini yang didapati tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

"Arahan tegas daripada kerajaan supaya tidak ada lagi kelulusan baharu untuk mineral dan juga galian-galian yang ada di sekitar Tasik Chini itu, secara lebih lanjut akan diperincikan dalam sidang parlimen esok," katanya kepada wartawan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Islah, di sini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pihak UNESCO telah memberikan tempoh tertentu untuk memulihkan semula Tasik Chini dalam usaha mengekalkan status berkenaan.

Sebalum ini, media melaporkan tinjauan UNESCO mengenai status Tasik Chini baru-baru ini mendapati tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan.

Berdasarkan tinjauan berkala pertama itu, Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka dan berisiko dilucutkan statusnya sebagai rizab biosfera.

Bagaimanapun UNESCO memberi tempoh kepada Malaysia sehingga 30 September ini untuk memaklumkan badan dunia itu mengenai perancangan untuk merawat  dan memulihkan Tasik Chini serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin berkata kajian berhubung tragedi banjir di Baling, Kedah sudah siap dan akan dibentangkan dalam sidang Parlimen esok.

Kajian berkenaan dilakukan membabitkan beberapa kementerian dan kerajaan negeri serta pakar-pakar geologi.


(Datuk Seri Takiyuddin Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan
Sekolah Kebangsaan (SK) Islah, di Kota Bharu)

Media Baharu