fb fb fb fb fb

Bekalan keperluan asas di Kedah masih cukup - KPDNHEP

ALOR SETAR, 3 Ogos- Bekalan barang keperluan di Kedah masih berada pada tahap yang stabil dan mudah diperolehi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna (KPDNHEP), Kedah Affendi Rajini Kanth berkata menerusi hasil 33 pemeriksaan di bawah Ops anti sorok, tiada isu berkaitan kegiatan sorok barang kawalan dan keperluan harian di pasaran dikesan di seluruh negeri.

"Bekalan ayam standard dan telur ayam pelbagai gred mudah diperolehi dan bekalan mencukupi," kata kenyataan yang dikeluarkan KPDNHEP Kedah di laman Facebooknya.

Hasil pemeriksaan juga mendapati para peniaga mematuhi harga siling yang ditetapkan bagi ayam dan juga telur ayam.

Bekalan minyak masak paket 1 kilogram mendapat permintaan tinggi di pasaran susulan daripada penarikan semula subsidi minyak masak botol dan peruncit mengakui telah kehabisan stok dan menunggu penghantaran yang seterusnya.


(Anggota penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di beberapa premis perniagaan bagi
memastikan bekalan keperluan asas mencukupi dan tidak disorok)

Media Baharu