Sebar berita palsu, pengkhianat negara – PM

Foto FB Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 1 April — Pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) digesa mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu berkakitan harga minyak dan elektrik yang dikesan semakin berleluasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyebar berita palsu dianggap pengkhianat negara oleh Perdana Menteri.
  • Maklumat palsu menjejaskan kestabilan negara dan mengelirukan rakyat semasa krisis tenaga global.
  • Penyebaran bertujuan meraih keuntungan politik murahan dan mempertahankan kelangsungan politik sempit.
  • Anwar menyeru rakyat bijak menyaring berita, memantau keadaan dan melakukan semakan rapi sebelum berkongsi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, penyebar berita palsu itu sebagai pengkhianat kepada negara.

Tegasnya, penyebaran maklumat tidak benar itu berlaku ketika negara berdepan cabaran luar biasa susulan krisis tenaga global sekali gus boleh menjejaskan kestabilan dan mengelirukan rakyat.

“Kerana setakat ini SKMM telah mengesan 96 kandungan berita palsu mengenai harga minyak dan elektrik di media sosial. Tujuan apa? Rakyat susah, negara tercabar dan terpaksa mengambil tindakan akibat peperangan di kawasan negara lain.

“Tetapi yang mereka teruskan ialah langkah khianat kepada negara dan kepada rakyat dengan memperhebah cerita palsu, memperjudikan nasib rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan politik murahan dan kelangsungan politik sempit.” katanya menerusi mesej video.

Datuk Seri Anwar menyeru kepada rakyat Malaysia agar lebih bijak dalam memilih dan menyaring berita yang yang sahih bagi mengelakkan penularan berita palsu dan meminta masyarakat untuk bersama-sama memantau keadaan semasa serta melakukan semakan rapi terhadap sebarang informasi sebelum menyebarkannya.