fb fb fb fb fb

SDSI MADANI tampil 145 produk usahawan tempatan

(FOTO RTM)

BANDAR HILIR, 4 Oktober- Lebih 40,000 pengunjung dijangka memeriahkan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) MADANI Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Showcase bermula 6 hingga 8 Oktober ini bakal menampilkan 145 usahawan dengan pelbagai produk  dari seluruh negara .

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Allex Seah Shoo Shin berkata, pelbagai aktiviti disediakan sepanjang tiga hari program berlangsung termasuk Jualan Rahmah, jualan Agro MADANI, Jualan Aneka Rasa dan sebagainya.

Katanya, platform yang disediakan ini memberi peluang kepada usahawan terlibat meningkatkan keupayaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

 “selain daripada itu, kita juga akan membantu untuk usahawan-usahawan yang membawa produk mereka berniaga di kawasan MITC pada SDSI mereka akan dapat peluang padanan perniagaan daripada 12 syarikat ternama termasuklah Mydin, AEON LOTUS dan lain-lain perniagaan.

"Jadi, kalau produk berkenaan sesuai dia akan mudah kita tampil ke rak-rak pasar raya. Selain itu, kita akan memberi akses kepada peluang pembiayaan, misalnya bagi usahawan-usahawan yang berada di sini", katanya yang ditemui selepas bersiaran di radio Melakafm.

Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) MADANI akan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada 7 Oktober dan bakal turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick.


(Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka,
Datuk Allex Seah Shoo Shin/FOTO RTM) 

Media Baharu