fb fb fb fb fb

IGEM 2023 sasar jana RM4 bilion untuk peluang perniagaan

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 4 Oktober -Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 menyasarkan RM4 bilion untuk peluang perniagaan dan 40,000 pelawat dari lebih 40 negara.

Dihoskan untuk tahun ke-14 berturut-turut, IGEM yang bermula hari ini, dihadiri mereka yang terlibat berkaitan rantaian nilai pembangunan mampan seperti yang ditunjukkan 'track record' (rekod pencapaian) apabila berjaya mencatatkan RM41 bilion dalam peluang perniagaan dengan mencatatkan lebih 530,000 pelawat dari 112 negara sejak tahun 2010.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi akan merasmikan IGEM 2023 mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Oktober, 2023.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata IGEM 2023 adalah tepat pada masanya, penting dan memberi kesan dalam usaha menumpu ke arah pelepasan sifar karbon bersih apabila tindakan iklim semakin mendapat sambutan.

“Kehadiran peserta pameran, penceramah, perwakilan, Atase Perdagangan, pemimpin korporat dan pelawat perniagaan mencerminkan bukan sahaja populariti IGEM tetapi juga kesegeraan ke arah tindakan iklim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dianjurkan oleh NRECC dan penganjur bersama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), acara perdagangan terkemuka Asia Tenggara untuk teknologi hijau dan penyelesaian eko itu bertema “Race Towards Net Zero: Leadership For Climate Action” tahun ini menyaksikan syarikat teknologi hijau menempatkan lebih 400 gerai pameran.

Lantai pameran itu disusun mengikut sub tema iaitu “Empowering Cities, Electrifying Mobility, Decarbonising Energy, Accelerating Circularity and Conserving Biodiversity” dengan beberapa syarikat, antaranya ialah Tenaga Nasional Bhd (TNB), Leader EV Solutions Sdn Bhd, Samaiden Group Bhd, Solarvest Holdings Bhd dan Cenergi SEA Bhd.

Acara tumpuan adalah Sidang Kemuncak dan Pameran AtoZero ASEAN yang menampilkan pembuat keputusan utama untuk meneroka laluan, dasar dan peluang perniagaan untuk memacu agenda peralihan sifar karbon bersih global.

Sehubungan itu, Nik Nazmi berkata Malaysia perlu mencapai kata sepakat mengenai perkongsian antara kesalinghubungan serantau, penyimpanan tenaga, penangkapan karbon, pembiayaan hijau, ekonomi hidrogen dan grid masa depan ASEAN sekiranya Asean menjadi faktor penentu dalam peralihan tenaga yang adil.

Ia menjadikan kemasukan ketara AtoZero ASEAN dalam acara itu, katanya.

IGEM 2023 juga menganjurkan beberapa persidangan mengenai topik seperti kecekapan tenaga, pasaran karbon, kesihatan planet, mobiliti rendah karbon, ekonomi hidrogen, air, alam sekitar, ekonomi kitaran, teknologi dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan insentif hijau.- BERNAMA


(POSTER IGEM 2023)

Media Baharu