fb fb fb fb fb

SC akan bangunkan rangka kerja terperinci pelaksanaan Bursa Sosial

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengeluarkan rangka kerja terperinci mengenai pelaksanaan Bursa Sosial (SE) dalam masa terdekat, terutamanya dalam menyediakan keperluan tadbir urus dan jaminan untuk memastikan dana yang diperoleh dalam SE akan digunakan dengan sewajarnya seperti yang diharapkan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dalam satu kenyataan hari ini berkata dengan platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif, SE akan memudahkan lagi penggemblengan modal swasta dan dermawan dalam menangani keperluan golongan yang kurang bernasib baik.

Beliau berkata cadangan penubuhan Bursa Sosial pertama negara itu mencerminkan komitmen kerajaan ke arah pendekatan pembangunan holistik dalam pembinaan negara, selaras dengan rangka kerja Ekonomi MADANI bagi membantu segmen masyarakat yang memerlukan.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dua inisiatif berkaitan pasaran modal di Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam.

Inisiatif pertama adalah penubuhan Bursa Sosial pertama Malaysia, pendekatan berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan hasil sosial yang positif.

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan, turut mengumumkan pengenalan pengumpulan dana untuk pembangunan wakaf melalui platform pembiayaan rakan setara (P2P) dan pendanaan awam ekuiti (ECF), dengan kerajaan menyediakan pembiayaan padanan melalui Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF).

Awang Adek berkata untuk menyokong pengumpulan dana pembangunan wakaf melalui platform pembiayaan ECF dan P2P, insentif baharu di bawah Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) akan diperkenalkan untuk memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Ini boleh memberi manfaat kepada PMKS dalam menjalankan projek berkaitan wakaf, terutamanya dalam pembangunan tanah wakaf dalam pertanian huluan dan bio-ekonomi.

“Ini akan menggalakkan lebih banyak PMKS untuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dalam perniagaan yang menyasarkan hasil sosial yang positif, pada masa yang sama menyumbang kepada agenda jaminan makanan negara,” katanya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE