KUALA LUMPUR, 12 April - Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) menjadi sekolah pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima Kit Kebersihan Asas Wanita atau Kit SERI (Social Empowerment of Reproductive Health initiatives) bagi insiatif dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara(LPPKN).
Inisiatif ini menyasarkan remaja dalam kalangan keluarga B40 bagi mengatasi isu kemiskinan haid seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun telah menyampaikan Kit SERI kepada 34 remaja dalam sesi menyantuni pelajar sekolah berkenaan sempena bulan Ramadan, hari ini.
Dalam sesi sama, para pelajar terlibat turut didedahkan dengan pengurusan kebersihan diri melalui ceramah bertajuk "Pengurusan Had dan Kesihatan Reproduktif".
KPWKM menyasarkan sejumlah 3,500 orang remaja perempuan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan 30 buah sekolah terpilih.
Sasaran keseluruhan bagi program pemberian Kit SERI adalah seramai 130,000 remaja perempuan melibatkan 1,124 buah sekolah seluruh negara bagi tahun 2022.
(Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan Kit SERI kepada 34 remaja
dalam sesi menyantuni pelajar SBJK sempena bulan Ramadan, hari ini di ibu negara)