GOPENG, 18 Mei - ''Saya tak salahkan pemandu lori,'' itu luahan penuh reda Norazian Mohd Joned, 38 tahun, isteri kepada Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri yang maut dalam nahas jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Allahyarham merupakan salah seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam pelanggaran melibatkan kenderaan pasukan dengan sebuah lori pasir.
Meskipun dilanda kesedihan, Norazian tidak menyalahkan mana-mana pihak atas insiden yang meragut nyawa suaminya.
“Sebab suami saya pernah cakap, masa kes bomba lemas yang bantu ramai orang tu, dia kata kita patut cemburu dengan mereka… sebab kematian mereka didoakan oleh semua orang, walaupun yang tak kenal pun mendoakan.
"Mungkin masa tu dia pun terdetik nak pergi macam tu. Kalau dah janji Allah, seminit pun takkan lewat. Yang lain tu cuma asbab saja, cara nak pergi memang dah begitu. Kami sekeluarga pun tak salahkan pemandu lori tu,” kata Norazian dalam nada reda ketika ditemui RTM.
Pada 3 Oktober 2018, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terkorban ketika menjalankan operasi menyelamat seorang remaja yang dipercayai lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.
Ketika melakukan selaman secara berkumpulan, mereka ditarik arus deras dan lemas dalam insiden tragik tersebut.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Norazian yang kini bergelar ibu tunggal, berkata arwah suaminya meninggalkan tiga orang anak berusia antara satu hingga 12 tahun.
Dalam pada itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyerahkan sumbangan manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,000 serta khairat kematian sebanyak RM3,000 kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda prihatin dan simpati.
Menurut Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid, bantuan tersebut diharapkan dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan yang ditanggung keluarga.
“Kita berharap dengan penyampaian sumbangan ini, ia dapat meringankan beban kewangan keluarga khususnya dalam menyara persekolahan anak-anak arwah,” jelas beliau.

Nahas yang berlaku pada 13 Mei lalu mencetuskan suasana pilu seluruh negara apabila sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dilaporkan terbunuh dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam.
Mereka adalah Sarjan S Perumal; Koperal Nurit Pandak; Koperal Amiruddin Zabri; Koperal Mohd Pozli Jaudin; Koperal Akmal Muhamad; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.