fb fb fb fb fb

Sawit: Tiada ladang baharu, Malaysia fokus tanah sedia ada

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 18 November - Malaysia Malaysia terus komited memperkukuhkan sektor pengurusan kelapa sawit dengan mengekalkan tanah sedia ada.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata langkah berkenaan bakal menumpukan kepada peningkatan pengeluaran minyak sawit secara lestari tanpa membuka ladang baharu bagi tujuan penanaman selain memanfaatkan kawasan sedia ada.

Jelas beliau, Malaysia sentiasa menghormati penguatkuasaan undang-undang yang ditetapkan oleh Indonesia berhubung tanah hutan yang diterokai bagi tujuan penanaman kelapa sawit.

"Ini adalah penguatkuasaan di Indonesia, jadi pada dasarnya kita tidak boleh campur tangan. Saya rasa kita perlu menghormati undang-undang mereka dan apa sahaja tindakan yang telah diambil oleh pihak industri sawit di sana.

"Saya rasa kita perlu mengiktiraf hak mereka untuk mengambil sebarang tindakan yang mereka mahu.Bagi Malaysia pula, saya rasa kita sangat jelas dengan apa yang kita mahu lakukan, dan seperti yang saya nyatakan tadi, kita akan fokus kepada memastikan tiada lagi penebangan hutan di negara ini.

"Kita mahu fokus sahaja kepada tanah yang sudah kita ada, contohnya untuk sawit. Kita mempunyai kira-kira 5.7 juta hektar.

"Jadi tiada lagi tanah baharu atau kawasan baharu yang kita mahu buka, kerana kita mahu mengekalkan cara pengurusan yang lebih mampan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Minyak Sawit Antarabangsa anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai harga minyak sawit, beliau berkata harga minyak sawit mentah kekal stabil, sekitar RM4,000 per tan sepanjang 10 bulan lepas.

Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, menyumbang 24 peratus daripada pengeluaran global dan 35 peratus daripada eksport global pada tahun 2024.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD