fb fb fb fb fb

Integriti perlu jadi pegangan utama penjawat awam

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz/ BERNAMA

KOTA BHARU, 18 November - Amalan integriti seharusnya menjadi pegangan utama bagi setiap penjawat awam di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, nilai integriti adalah tunjang kepada sistem tatakelola baik.

"Bagi saya hanya segelintir sahaja mereka-mereka yang masih lagi kurang nilai integritinya.

"Tetapi, dari segi kerajaan kita sentiasa mementingkan tentang integriti itu menjadi pegangan governance adalah sesuatu yang mesti ada dalam setiap jiwa individu penjawat awam itu sendiri", katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ziarah Pesara Negeri Kelantan di Min House Camp, Kampung Pulau Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.
 
Mengulas lanjut katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam sememangnya mempunyai pekeliling dan peraturan yang menekankan kepada aspek integriti dalam kalangan penjawat awam.
 
Menurut beliau, tatakelola menjadi kepentingan kerajaan bukan sahaja dalam menguruskan kemasukan yang tidak sepatutnya, tetapi juga dalam semua aspek projek pembangunan dan perolehan.
 
Media sebelum ini melaporkan, polis mendedahkan taktik lama masih digunakan pihak tertentu termasuk penjawat awam, untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand tanpa dokumen perjalanan sah dengan hanya mengangkat tangan ketika melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Kejadian terbaharu berjaya dibongkar polis pada 4 November lalu, apabila lapan individu termasuk dua wanita ditahan selepas memasuki Kelantan tanpa dokumen sah melalui ICQS Rantau Panjang.

ROSLINA BINTI DIN