fb fb fb fb fb

JPA adakan libat urus cadangan kenaikan umur persaraan

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz

KOTA BHARU, 18 November - Jabatan Perkhidmatan Awam mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan, bagi mendapatkan maklum balas awal berkait cadangan kenaikan umur persaraan daripada 60 tahun ke 65 tahun.
 
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, sesi libat urus rasmi itu telah diadakan sebanyak tiga kali yang melibatkan antaranya Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan persatuan pesara.
 
Ia penting bagi mendapatkan pandangan awal berkenaan cadangan itu yang merupakan perkara baru dan memerlukan kajian dan penelitian rapi.

“Seperti biasa, terdapat pro dan kontra, dengan sesetengah pihak bersetuju dan ada yang tidak. Namun, pada peringkat awal ini, kita akan melihat dari pelbagai perspektif dan sudut untuk memastikan keputusan yang diambil kelak memberi impak positif kepada penjawat awam dan negara," katanya pada sidang media selepas Program Ziarah Pesara Negeri Kelantan di Min House Camp, Kampung Pulau Kubang Kerian, di sini.
 
Mengulas lanjut katanya, setakat ini cadangan tersebut masih dalam kajian dan ia tercatat dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13) supaya kerajaan membuat kajian kearah umur persaraan 65 tahun.
 
Ia berada di peringkat permulaan dan masih dalam tindakan pihak JPA.
 

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN