KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Syarikat minyak dan gas terbesar dunia, Saudi Aramco berminat untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor perkilangan di Malaysia.
Perkara itu melibatkan industri hiliran dan peruncitan petrokimia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited menyediakan fasiliti secara menyeluruh bagi merealisasikan projek pelaburan berkenaan.
"Aramco sudah setuju untuk tambah pelaburan di Pengerang dan sudah putuskan mesyuarat lembaga akan dibuat di Malaysia.
"Aramco ini melibatkan tiga menteri utama Arab,, dan pelaburan awam dengan Khazanah Nasional Berhad, mereka cadang untuk datang ke sini minggu depan untuk bermesyuarat dengan Petronas," katanya ketika menjawab soalan ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ismail di Dewan Rakyat berkenaan hasil lawatan perdana menteri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.