fb fb fb fb fb

Sate Kajang bakal diwarta sebagai makanan warisan Selangor

SEPANG, 17 September- Sate Kajang bakal diwartakan sebagai makanan warisan negeri Selangor menjelang tahun depan.

Menurut Exco Kebudayaan Negeri Selangor Borhan Aman Shah, usul pewartaannya akan dibawa ke Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat.

"Sate Kajang ini merupakan satu identiti dan kebetulan daerah Kajang terletak di Selangor. Jadi saya lihat Sate Kajang ini akan menjadi tempat pelancongan kerana digemari masyarakat bebilang kaum selain turut menjadi pilihan pelancong dari luar negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis pra-pengisytiharaan Sate Kajang sebagai makanan warisan Selangor di sini.

Jelas Borhan, usaha mewartakan Sate Kajang dilaksanakan PADAT bermula dengan kajian meliputi aspek sejarah, latar belakang, saiz, cara penyediaan, kuah dan cara hidangannya.

Bagaimanapun menurut Borhan cadangan mengangkat Sate Kajang sebagai satu jenama sate warisan Selangor bermula sejak tahun 2011.

Perniagaan itu yang bermula sejak tahun 1917 itu diusahakan oleh Tasmin Satiban dan adiknya, Rono.

Diberi nama Sate Kajang, kini ia merupakan antara makanan tradisional popular khususnya bagi mereka yang berkunjung ke Kajang.

Dahulu, makanan tradisional itu dijual secara berkandar dan dimakan bersama kuah kacang dan nasi kepal atau ketupat.

Lazimnya ia turut dihidangkan dengan timun dan bawang yang mempunyai khasiat semula jadi iaitu anti-karsinogen (agen yang boleh menyebabkan pertumbuhan barah (kanser)).

(Borhan Aman Shah)

Media Baharu